twitter



Jalan-jalan Raya Kotaku


Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.

Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan.

Memacu menghimpun pangkal kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.


ZAM ISMAIL
(Dipetik daripada antologi Anak Laut, Tingkatan 4, DBP)





Dewasa ini, laporan perilaku para remaja yang berada di luar batasan kesopanan serta kesusilaan sangat membimbangkan. Dunia yang kian meluas tanpa sempadan sebenarnya semakin menyempitkan kesantunan berbahasa dalam kalangan remaja. Remaja masa kini lebih ghairah mendaulatkan teknologi  sehingga mengabaikan kesantunan berbahasa dalam komunikasi seharian.  Berikut merupakan takrif bagi remaja dan kesantunan berbahasa.
     Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mentakrifkan remaja sebagai mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Menurut Azizi Haji Yahaya (2011), zaman remaja dikatakan bermula dari akil baligh dan berakhir apabila memasuki alam dewasa. Ia marupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan yang berlaku, sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif di mana ia mula minat hubungan dengan rakan sebaya dan mulai belajar peranan kerja, peranan dalam keluarga dan sebagai warga masyarakat. Zaman remaja dikatakan satu proses untuk mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan bagi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat.
     Hafizah Salleh (2005) dalam bukunya memberi maksud kesantunan berbahasa sebagai kehalusan bahasa yang digunakan untuk menunjukkan kesopanan seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain, iaitu sama ada secara lisan ataupun dalam bentuk tulisan. Hanya kosa kata yang halus dan sopan digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang tertentu.
     Menerusi buku Santun Berbahasa, Awang Sariyan (2007) menjelaskan bahasa kesantunan ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan,  beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Siti Hajar Abdul Aziz (2009) pula dalam bukunya menyatakan bahawa kesantunan bahasa ialah cara penggunaan kata dan ujaran secara sopan dan beradab.
     Kesimpulannya, kesantunan berbahasa adalah keadaan menggunakan bahasa yang beradab tanpa mengguris perasaan orang lain. Sebagai remaja yang bakal memacu kepimpinan negara, sewajarnya memahami konsep kesantunan berbahasa dan mengamalkannya dalam aktiviti seharian.
Rujukan:
Awang Sariyan, (2007). Santun berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Haji Yahaya. (2011). Definisi remaja dan pembentukan konsep kendiri dan hubungannya dengan keluarga. Diperoleh pada 1 November 2012, daripada http://www.uprints.utm.my/PEMBENTUKAN_KONSEP_KENDIRI

Hafizah Salleh, (2005). Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan 2. Selangor: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu II.  Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.



Nasariah Mansor, Faizah Ahmad dan Yusniza Yaakub telah menjalankan kajian terhadap 60 orang pelajar yang merupakan penuntut  UUM. Berdasarkan jurnal mereka yang bertajuk ‘Kesantunan Bahasa dalam Kalangan Pelajar IPT: Satu Kajian Perbandingan Etnik’, borang kaji selidik diedarkan kepada 60 orang pelajar.  Melalui kajian yang dijalankan, kita dapat melihat pemahaman responden tentang cara penggunaan bahasa yang betul berdasarkan konteks dan situasi, selain membuat perbandingan berdasarkan strategi penolakan yang digunakan antara etnik Melayu dan bukan Melayu. Terdapat dua pendekatan yang biasa digunakan untuk menolak sesuatu permintaan iaitu penolakan secara langsung ataupun tidak langsung. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pelajar Melayu lebih bersikap berhati-hati ketika mengujarkan penolakan berbanding pelajar bukan Melayu.
Artikel jurnal yang bertajuk ‘Kesantunan Bahasa Dalam Kalangan Remaja Sekolah Menengah’ merupakan tulisan daripada Zaitul Azma Zainon Hamzah, Ahmad Fuad Mat Hassan dan Mohd Nur Hafizudin Md Adama.  Tercetusnya idea untuk mengkaji kesantunan bahasa dalam kalangan remaja sekolah adalah kerana sejak kebelakangan ini mereka mendapati bahawa remaja lebih menggunakan strategi ketidaksantunan dalam perbualan mereka. Menurut kajian yang telah dijalankan telah menunjukkan golongan remaja sekolah menengah masa kini bertutur dengan hanya menggunakan kesopanan bahasa yang minimum. Iaitu “Assalamualaikum”, “Selamat pagi”, “Salam/ salam sejahtera”, dan “hai”. Ini sudah cukup menunjukkan bahawa mereka enggan bertutur dengan sopan mungkin kerana perasaan malu atau merasakan mereka ketinggalan zaman. Oleh itu, setiap individu perlu mempunyai kesedaran mengenai peri pentingnya kesopanan bahasa untuk melestarikan bahasa ibunda pada masa hadapan.            
Rujukan
Zaitul Azma Zainon Hamzah, Ahmad Fuad Mat Hassan & Mohd Nur Hafizudin Md Adama. (1998). Kesantunan bahasa dalam kalangan remaja  sekolah menengah. Jurnal Bahasa, 11(2), 321-329
Nasariah Mansor, Faizah Ahmad & Yusniza Yaakub. (2010).  Kesantunan bahasa dalam kalangan pelajar IPT: Satu kajian perbandingan etnik. Diperoleh pada 6 November 2012, daripada http://www. repo.uum.edu.my/3181/1/S17.pdf






Pada tahun 2000, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Kompenan Sastera (KOMSAS) kepada para pelajar di sekolah menengah. KOMSAS yang diketengahkan ialah pantun, syair, seloka, prosa klasik, cerpen, drama dan novel. Langkah Kementerian Pelajaran ini diterima baik oleh para pendidik dan para pelajar. Idea ini membawa lembaran baru dalam sistem pendidikan negara. Mata pelajaran ini mempunyai kepentingan dan memberi faedah kepada para pelajar. Melewati 10 tahun sudah perkenalannya, kini kerajaan yang berkenaan masih meneruskan pengajaran KOMSAS tetapi teks-teks KOMSAS yang baharu telah pun diperkenalkan. Menurut Aminuddin Mansor (2011), KOMSAS dalam pendidikan bahasa Melayu sekolah menengah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai ketrampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati hasil karya dengan sepenuhnya. Ia menjadi penyalur ilmu, penyebar fikiran dan gelojak perasaan sesuatu bangsa.
     Kewujudan mata pelajaran ini memberi banyak faedah kepada para pelajar dalam mendekatkan diri mereka dengan kesantunan berbahasa. Kesantunan berbahasa diterapkan melalui pantun umpamanya yang boleh dijadikan bahasa berkias dalam komunikasi. Bidang sastera telah lama bertapak di dunia ini. Bidang sastera negara juga telah lama berkembang. Contohnya, pantun sering dijadikan sebagai acara simbolik dalam sesuatu majlis. Menurut Amelia Hashim (2010) dalam rencananya, terdapat pendapat yang menyifatkan pantun sebagai artifak dan bukti bahan kajian ketamadunan masyarakat Melayu di dunia. Beliau menambah bahawa dari segi fizikal, mesej pantun adalah bukti yang mencerminkan pemikiran, sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat Melayu pada zaman dahulu.  Menurut Norida Daud (2006) pula, pantun merupakan genre puisi yang cukup sinonim dengan ungkapan lambang serta kiasan dan merupakan warisan khazanah  masyarakat Melayu yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan. Golongan remaja boleh mengaplikasikannya dalam perbualan seharian daripada terus berbicara dengan bahasa yang kasar dan mengguris perasaan orang lain.
Selain itu, nilai-nilai murni dan pengajaran yang diselitkan dalam KOMSAS dapat dijadikan sebagai pegangan hidup. Secara tidak langsung, pelajar yang berakhlak mulia dapat dilahirkan. Para pelajar juga dapat mempertingkatkan penggunaan bahasa dengan betul dan mengenali perkataan-perkataan yang baharu. Hasil karya yang menarik pasti menjadi inspirasi kepada para pelajar yang amat meminati sastera. Oleh yang demikian, karya yang berkualiti mampu menarik minat para pelajar mengenali dunia  sastera.
Tuntasnya, pembelajaran dan pengajaran KOMSAS di sekolah dapat memberi pendedahan kepada para pelajar atau remaja betapa halus, indah dan santunnya bahasa Melayu. Guru pula memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran KOMSAS di sekolah dalam membentuk peribadi remaja yang mengamalkan kesantunan berbahasa.

Rujukan

Amelia Hashim. (Disember, 2010). Pantun menyusur tamadun. Jendela Utara.5-7.

Aminuddin Mansor. (15 Mei, 2011). Membaca atau menikmati karya sastera?Utusan Malaysia

Norida Daud. (2006). Analisis lambang kata nama literal dalam pantun. Jurnal Bahasa. 6(1).148-168.




Remaja memainkan peranan yang penting dalam memacu negara pada masa akan datang. Jika mahu melihat corak masa hadapan negara, lihatlah pilihan warna remaja pada masa kini. Begitulah analogi yang menggambarkan jika remaja hari ini pincang, maka keadaan negara pada masa akan datang masih belum terjamin, begitulah juga sebaliknya. Tidak dinafikan, remaja semakin kurang santunnya dalam berbahasa, penggunaan kata-kata kesat dalam perbualan seharian ibarat sesuatu yang biasa. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada ketidaksantunan berbahasa remaja pada masa kini.
            Pengaruh media massa yang tidak mampu lagi dibendung secara tidak langsung mempengaruhi minda remaja. Tayangan rancangan dari Barat umpamanya mampu memberi kesan yang negatif kepada remaja masa kini memandangkan, cara hidup mereka yang berbeza dengan ciri ketimuran dan adakalanya melanggar tatasusila. Budaya masyarakat Melayu sememangnya begitu sinonim dengan kata panggilan bagi menunjukkan rasa hormat pada seseorang, walau bagaimanapun ciri-ciri ini tiada dalam budaya Barat. Menurut Zuraidah Sulaiman (2011), bangsa Melayu khususnya sedang berhadapan dengan satu fasa kebejatan budi yang memperlihatkan betapa mudahnya keperibadian bangsa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar. Keadaan ini berlaku sealiran pula dengan berkembang dan memuncaknya nilai pembangunan material, teknologi yang bercirikan budaya luar.
            Sememangnya pengaruh rakan sebaya serta persekitaran tidak boleh dinafikan. Remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya memandangkan takat usia yang sama serta berkongsi minta yang sama. Selain itu, pada peringkat remaja, rata-rata tidak mahu hidup dalam keadaan terkongkong dan mempunyai keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Oleh itu, ibu bapa haruslah memantau pergerakan anak mereka supaya kesantunan bahasa dapat dikekalkan demi maruah keluarga serta bangsa.
            Kesimpulannya, kesantunan berbahasa mampu membentuk peribadi remaja yang unggul. Dalam menjayakan hasrat melahirkan modal insane yang gemilang, semua pihak berperanan dalam membentuk remaja menjalani kehidupan yang beradab.
Rujukan
Zuraidah Sulaiman. (7 Mei, 2011). Minda: Hilang budaya santun. Harian Metro.