Dewasa ini, laporan perilaku para remaja yang berada di
luar batasan kesopanan serta kesusilaan sangat membimbangkan. Dunia yang kian
meluas tanpa sempadan sebenarnya semakin menyempitkan kesantunan berbahasa
dalam kalangan remaja. Remaja masa kini lebih ghairah mendaulatkan teknologi
sehingga mengabaikan kesantunan berbahasa dalam komunikasi seharian.
Berikut merupakan takrif bagi remaja dan kesantunan berbahasa.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mentakrifkan remaja sebagai mulai dewasa,
sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Menurut Azizi Haji
Yahaya (2011), zaman remaja dikatakan bermula dari akil baligh dan berakhir
apabila memasuki alam dewasa. Ia marupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan
hidup yang melibatkan banyak perubahan yang berlaku, sama ada dari segi
perkembangan fizikal, emosi dan kognitif di mana ia mula minat hubungan dengan
rakan sebaya dan mulai belajar peranan kerja, peranan dalam keluarga dan
sebagai warga masyarakat. Zaman remaja dikatakan satu proses untuk mencapai
atau memperolehi sikap dan kepercayaan bagi penglibatan yang berkesan dalam
masyarakat.
Hafizah Salleh (2005) dalam
bukunya memberi maksud kesantunan berbahasa sebagai kehalusan bahasa yang
digunakan untuk menunjukkan kesopanan seseorang apabila berkomunikasi dengan
orang lain, iaitu sama ada secara lisan ataupun dalam bentuk tulisan. Hanya
kosa kata yang halus dan sopan digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang
tertentu.
Menerusi buku Santun Berbahasa,
Awang Sariyan (2007) menjelaskan bahasa kesantunan ialah penggunaan bahasa yang
baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan
penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Siti Hajar Abdul Aziz (2009) pula dalam
bukunya menyatakan bahawa kesantunan bahasa ialah cara penggunaan kata dan
ujaran secara sopan dan beradab.
Kesimpulannya, kesantunan
berbahasa adalah keadaan menggunakan bahasa yang beradab tanpa mengguris
perasaan orang lain. Sebagai remaja yang bakal memacu kepimpinan negara,
sewajarnya memahami konsep kesantunan berbahasa dan mengamalkannya dalam
aktiviti seharian.
Rujukan:
Awang
Sariyan, (2007). Santun berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Azizi Haji Yahaya. (2011). Definisi remaja dan pembentukan konsep kendiri dan hubungannya dengan
keluarga. Diperoleh pada 1 November 2012, daripada http://www.uprints.utm.my/PEMBENTUKAN_KONSEP_KENDIRI
Hafizah
Salleh, (2005). Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan 2. Selangor: Penerbitan
Pelangi Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa
Melayu II. Selangor: Oxford Fajar
Sdn. Bhd.