Remaja
memainkan peranan yang penting dalam memacu negara pada masa akan datang. Jika
mahu melihat corak masa hadapan negara, lihatlah pilihan warna remaja pada masa
kini. Begitulah analogi yang menggambarkan jika remaja hari ini pincang, maka
keadaan negara pada masa akan datang masih belum terjamin, begitulah juga
sebaliknya. Tidak dinafikan, remaja semakin kurang santunnya dalam berbahasa,
penggunaan kata-kata kesat dalam perbualan seharian ibarat sesuatu yang biasa. Terdapat
beberapa faktor yang menyumbang kepada ketidaksantunan berbahasa remaja pada
masa kini.
Pengaruh
media massa yang tidak mampu lagi dibendung secara tidak langsung mempengaruhi
minda remaja. Tayangan rancangan dari Barat umpamanya mampu memberi kesan yang negatif
kepada remaja masa kini memandangkan, cara hidup mereka yang berbeza dengan ciri
ketimuran dan adakalanya melanggar tatasusila. Budaya masyarakat Melayu
sememangnya begitu sinonim dengan kata panggilan bagi menunjukkan rasa hormat
pada seseorang, walau bagaimanapun ciri-ciri ini tiada dalam budaya Barat. Menurut
Zuraidah Sulaiman (2011), bangsa Melayu khususnya
sedang berhadapan dengan satu fasa kebejatan budi yang memperlihatkan betapa
mudahnya keperibadian bangsa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar. Keadaan ini
berlaku sealiran pula dengan berkembang dan memuncaknya nilai pembangunan material,
teknologi yang bercirikan budaya luar.
Sememangnya pengaruh rakan sebaya
serta persekitaran tidak boleh dinafikan. Remaja mudah terpengaruh dengan rakan
sebaya memandangkan takat usia yang sama serta berkongsi minta yang sama.
Selain itu, pada peringkat remaja, rata-rata tidak mahu hidup dalam keadaan
terkongkong dan mempunyai keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Oleh itu, ibu bapa haruslah memantau pergerakan anak
mereka supaya kesantunan bahasa dapat dikekalkan demi maruah keluarga serta
bangsa.
Kesimpulannya, kesantunan berbahasa
mampu membentuk peribadi remaja yang unggul. Dalam menjayakan hasrat melahirkan
modal insane yang gemilang, semua pihak berperanan dalam membentuk remaja
menjalani kehidupan yang beradab.
Rujukan
Zuraidah
Sulaiman. (7 Mei, 2011). Minda: Hilang budaya santun. Harian Metro.
